I’lam ketahui olehmu, kepada zaman dahulu kala dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya cerita, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zulkarnain gelarannya, sekali persetua baginda berjalan hendak melihat matahari terbit. Maka baginda sampai pada serokan negeri Hindi.
Maka ada seorang raja di tanah Hindi terlalu besar kerajaannya, setengah negeri Hindi itu di dalam tangannya, namanya Raja Kida Hindi. Setelah ia mendengarkan Raja Iskandar datang, maka Raja Kida Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja yang takluk kepadanya. Setelah sudah berkampung semuanya, maka dikeluarinyalah oleh Raja Kida Hindi akan Raja Iskandar.
Maka setelah bertemulah antara kedua pihak itu, maka segala rakyat lalu berperanglah terlalu ramai, saperti yang di dalam hikayat Iskandar itu. Maka adalah Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar ditangkap baginda dengan hidupnya; maka disuruhnya membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membawa Imanlah jadi Islam, di dalam agama nabi Ibrahim, Khalilul lah, ‘alaihis salam. Maka dipersalini oleh Raja Iskandar akan Raja Kida Hindi saperti pakaian dirinya. Maka dititahkanlah oleh Raja Iskandar kembali ke negerinya.
Maka ada pun akan Raja Kida Hindi itu, ada beranak seorang perempuan terlalu baik parasnya, tiada berbagai lagi dan tiada taranya pada masa itu, cahaya mukanya gilang-gemilang seperti cahaya matahari dan bulan, dan amat bijaksana budi pekertinya puteri itu, namanya Syahrul Bariyah. Maka Raja Kida Hindi pun memanggil Perdana Menterinya pada tempat yang sunyi.
Maka titah Raja Kida Hindi kepada Perdana Menteri, “ketahui olehmu bahawa aku memanggil engkau ini akan bicara keapadamu; bahawa anakku yang tiada ada
taranya seorang pun anak raja-raja pada zaman ini, itulah hendakku persembahkan kepada Raja Iskandar: Sekarang apa nasihatmu akan daku?”
Maka Sembah Perdana Menteri, “Sahaja sebenarnyalah pekerjaan yang seperti titah duli tuanku itu.”
Maka sabda Raja Kida Hindi pada Perdana Menteri, “Insyha Allah Ta’ala esok hari pergilah tuan hamba kepada nabi Khidhir, katakanlah oleh tuan hamba segala perihal ini.”
Setelah esok harinya, maka pergilah Perdana Menteri itu kepada nabi Khidhir. Setelah sudah Perdana Menteri itu pergi, maka disuruh Raja Kida Hindi suratkan nama Raja Iskandar atas segala derhamnya, dan atas segala panji-panjinya.
Ada pun setelah sampai Perdana Menteri kepada nabi Khidhir, maka ia pun memberi salam. Maka disahut nabi Khidhir salam Menteri itu, maka disuruhnya duduk.
Arakian maka berkatalah Perdana Menteri itu kapada nabi Khidhir, “Ketahui oleh tuan hamba, ya nabi Allah, bahawa, raja hamba terlalu amat sekali kasihnya akan Raja Iskandar, hada dapat hamba sifatkan; dan ada ia beranak seorang perempuan, tiada dapat dikatakan keelokan parasnya, dan tiada ada bagainya anak raja-raja di dalam alam ini dari masyrik lalu ke maghrib pada zaman ini, daripada rupanya dan budi pekertinya tiada ada taranya pada masa ini. Adalah kehendak raja hamba mempersembahkan dia akan jadi isteri Raja Iskandar.”
Kata sahibul hikayat, maka pada ketika itu juga pergilah nabi Khidhir kepada Raja Iskandar, maka diceterakannyalah perihal itu. Maka kabullah Raja Iskandar. Kemudian daripada itu, maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendeta dan segala orang besar-besar dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dari belakang baginda segala hamba yang khas dan segala yang keperchayaannya.
Maka adalah pada ketika itu Raja Kida Hindi pun ada menghadap Raja Iskandar duduk di atas kerusi emas yang bepermata. Maka seketika duduk itu, maka nabi Khidhir berbangkit sambil berdiri, serta menyebut nama Allah subhanahu wa Ta’ala dan mengucap selawat akan segala nabi yang dahulu-dahulu; syahadan lalu membaca khutbah nikah akan Raja Iskandar, dan diisyaratkannya perkataan itu kapada Raja Kida Hindi.
Demikian kata nabi Khidhir, “Ketahui olehmu, hai Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahkan Allah Ta’ala kerajaan dunia ini kepadanya, dari masyrik lalu ke maghrib, dari daksina datang ke paksina. Ada pun sekarang didengarnya bahawa tuan hamba ada beranak perempuan terlalu baik parasnya; kehendak baginda itu, minta dikasihi kiranya tuan hamba, dan diambil akan menantu tuan hamba, supaya berhubunglah segala anak cucu Raja Kida Hindi dengan anak cucu Raja Iskandar, jangan lagi berputusan kiranya hingga hari kiamat. Bagaimana; kabulkah tuan-hamba atau tiada?”
Kata sahibul hikayat, tatkala didengarlah oleh Raja Kida Hindi kata nabi Khidhir demikian itu, maka ia pun segera turun dari atas kerusinya berdiri di tanah seraya ia menyembah pada Raja Iskandar dan berkata, “Bahawa ketahui oleh tuanku ya nabi Allah, dan segala tuan-tuan
yang ada hadir, bahawa ini dengan sesungguhnya hamba kepada Raja Iskandar, dan anak hamba sekalian pun hamba juga ke bawah duli baginda itu, seperti sahaya yang mengerjakan dia seorang dua orang itu. Ketahui olehmu, hai segala tuan-tuan sekalian yang ada di sini, bahawa nabi Khidhir akan wah hamba dan wali anak hamba yang bernama Tuan Puteri Shahrul Bariyah itu.”
Apabi1a didengar oleh nabi Khidhir kata Raja Kida Hindi demikian itu, maka berpalinglah ia menghadap kepada Raja Iskandar, dan berkata ia kepada Raja Iskandar, “Bahawa sudahlah hamba kahwinkan anak Raja Kida Hindi yang bernama Tuan Puteri Syahrul Bariyah dengan Raja Iskandar. Ada pun isi kahwinnya tiga ratus ribu dinar emas; redhalah tuan hamba?”
Maka sahut Raja Iskandar, “Redha-Iah hamba.”
Maka dikahwinkan nabi Khidhirlah anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar atas syariat nabi Ibrahim, Khalilul lah, di hadapan segala mereka yang tersebut itu. Maka berbangkitlah segala raja-raja dan segala orang besar-besar dan perdana menteri dan hulubalang dan segala pendeta dan segala ulama dan hukama menaburkan emas dan perak dan permata, ratna mutu manikam, kepada kaki Raja Iskandar, hingga tertimbunlah segala emas dan perak dan ratna mutu manikam itu di hadapan Raja Iskandar, saperti busut dua tiga timbun. Maka sekalian harta itu disedekahkan pada segala fakir dan miskin.
Setelah hari malam, datanglah Raja Kida Hindi membawa anaknya kapada Raja Iskandar dengan barang kuasanya, dengan pelbagai permata yang ditinggalkan oleh datuk neneknya; sekalian itu dikenakannya akan pakaian anaknya. Maka pada malam itu naik mempelailah Raja Iskandar.
Syahadan maka hairanlah hati Raja Iskandar melihat akan rupa Puteri Syahrul Bariyah itu, tiadalah dapat tersifatkan lagi; dan pada keesokan harinya maka dipersalini oleh Raja Iskandar akan Tuan Puteri Syahrul Bariyah itu dengan selengkap pakaian kerajaan, dan
dianugerahinya harta, tiada terpermanai lagi banyaknya, dan Raja Iskandar pun menganugerahi pula persalin akan Raja Kida Hindi serta dengan segala raja-raja daripada pakaian yang mulia-mulia sekalian, emas bertatahkan ratna mutu manikam, tiga buah perbendaharaan yang terbuka.
Maka Raja Kida Hindi pun dianugerahinya lagi persalin dan dianugerahinya seratus chembul emas berisi permata dan ratna mutu manikam, dan mata benda yang mulia-mulia dan dianugerahi seratus ekor kuda yang hadir dengan segala alatnya daripada emas bertatah dengan segala permata. Maka hairanlah hati segala yang memandang dia.
Kemudian dari itu maka berhentilah Raja Iskandar, ada kira-kira sepuluh hari. Setelah datang kapada sabelas harinya, maka berangkatlah Raja Iskandar seperti adat dahulu kala; dan tuan puteri anak Raja Kida Hindi pun dibawa baginda.
Maka baginda pun berjalanlah lalu ke matahari hidup, seperti yang tersebut di dalam hikayatnya yang termasyhur itu. Hatta berapa lamanya, setelah sudah Raja Iskandar melihat matahari terbit, maka baginda pun kembalilah, lalu dari negeri Raja Kida Hindi. Maka Raja Kida Hindi pun keluarlah menghadap Raja Iskandar dengan segala persembahannya, daripada tahfifah yang mulia-mulia dan daripada mata benda yang ajaib-ajaib.
Maka Raja Kida Hindi pun berdatang sembah kapada Raja Iskandar akan peri dendamnya dan berahinya akan tapak hadhra Raja Iskandar, tiada dapat terkatakan lagi. Syahadan peri rindu dendamnya akan anaknya Puteri Syahru1 Bariyah dan dipohonkannyalah anaknya ke bawah duli Raja Iskandar.
Arakian, maka dianugerahkan Raja Iskandar akan Tuan Puteri Syahrul Bariyah kembali kepada ayahnya Raja Kida Hindi. Maka dianugerahi oleh Raja Iskandar akan Puteri Syahrul Bariyah persalinan seratus kali dan dianugerahi harta daripada emas dan perak dan ratna mutu manikam dan daripada permata dan harta benda yang indah-indah dan yang mulia-mulia, tiada terhisabkan lagi banyaknya. Maka Raja Kida Hindi pun menjunjung duli Raja Iskandar. Maka dipersalin baginda pula seratus kali daripada pakaian baginda sendiri.
Se-telah itu maka dipalu oranglah genderang berangkat, dan ditiup oranglah nafiri, alamat Raja Iskandar berangkat. Maka baginda pun berangkatlah dari sana, seperti adatnya dahulu kala, kasadnya hendak menaklukkan segala raja-raja yang belum takluk kepadanya seperti yang termadzkur itu. Wal lahu ‘alammu bis sawab.
Ada pun diceterakan oleh orang yang empunya cetera ini, bahawa Tuan Puteri Syahrul Bariyah, anak Raja Kida Hindi itu, telah hamillah ia dengan Raja Iskandar, akan tetapi tiada diketahui oleh Raja Iskandar akan isterinya itu hamil, dan Tuan Puteri Syahrul Bariyah pun tiada tahu akan dirinya hamil itu. Setelah sebulan lamanya, Puteri Syahrul Bariyah itu kembali kepada ayahnya maka baharulah diketahuinya dirinya hamil itu, sebab dirasanya dirinya tiada datang haidh.
Maka Tuan Puteri Syahrul Bariyah pun memberi tahu kepada ayahnya Raja Kida Hindi, katanya, “Ketahuilah oleh ayahanda, bahawa hamba ini telah dua bulanlah sekarang tiada haidh.”
Setelah Raja Kida Hindi mendengar kata anaknya itu, maka Raja Kida Hindi pun terlalu sukachita oleh anaknya itu hamil dengan Raja Iskandar. Maka dipeliharakannya dengan sepertinya. Setelah genaplah bulannya, maka Tuan Puteri Syahrul Bariyah pun berputeralah seorang anak laki-laki. Maka oleh Raja Kida Hindi akan cunda baginda itu dinamai Raja Aristun Syah waladul malikul mukarram, terlalu sangat dikasihi oleh Raja Kida Hindi akan dia.
Hatta berapa lamanya, maka Raja Aristun Syah pun besarlah, terlalu baik parasnya, seakan-akan rupa ayahanda baginda Raja Iskandar Zulkarnain. Maka oleh Raja Kida Hindi dipinangkannya anak Raja Turkistan.
Maka Raja Aristun Syah pun berputeralah seorang anak laki-laki, maka dinamainya Raja Aftus.
Setelah empat puluh lima tahun lamanya, Raja Iskandar sudah kembali ke Negeri Makaduniah; maka Raja Kida Hindi pun kembalilah ke rahmat Allah; maka cucu baginda Raja Aristunlah di atas kerajaan dalam negeri Hindi, menggantikan kerajaan nenda baginda. Adalah umur baginda di atas kerajaan tiga ratus lima puluh lima tahun. Maka Raja Aristun Syah pun berpindahlah dari negeri yang fana ke negeri yang baqa.
Maka anakanda baginda Raja Aftus pula naik raja dalam negeri Hindi. Adalah umur baginda di atas kerajaan seratus dua puluh tahun, maka baginda pun hilang.
Maka Aska’inat naik raja, umur baginda di atas kerajaan tiga tahun. Setelah sudah hilang, maka Raja Kasdas namanya naik raja pula. Adalah umur baginda di atas kerajaan dua belas tahun.
Setelah sudah baginda hilang, maka Raja Amtabus namanya naik raja pula di atas takhta kerajaan. Adalah umur baginda di atas kerajaan tiga belas tahun.
Setelah sudah baginda hilang, maka Raja Zamzius namanya naik raja pula. Adalah umur baginda itu di atas kerajaan tujuh tahun, maka baginda pun hilang.
Maka Khams Ka’inat namanya naik raja pula. Adalah umur baginda itu di atas kerajaan tiga puluh tahun.
Setelah sudah hilang baginda, maka Raja Arhat Aska’inat namanya naik raja pula. Adalah umur baginda di atas kerajaan sembilan tahun.
Setelah sudah hilang baginda, maka Raja Kudar Zakuhun anak Raja Amtabus pula naik raja. Adalah umur baginda di atas kerajaan tujuh puluh tahun.
Setelah sudah hilang baginda, maka Nikabus namanya naik raja. Adalah umur baginda itu di atas kerajaan empat puluh tahun, kemudian maka baginda pun hilang.
Maka Raja Ardisyir Babegan naik kerajaan. Adalah baginda beristerikan anak Raja Nushirwan Adil, raja masyrik dan maghrib, maka beranaklah baginda dengan tuan puteri anak Raja Nushirwan Adil seorang laki-laki bernama Raja Dermanus. Maka anak cucu bagindalah kerajaan turun-temurun sampailah kepada anak cucu raja yang bernama
Terasi Berderas naik kerajaan. Ada pun baginda itu anak Raja Zimrut, cucu Shah Tersi, cicit anak raja Dermanus, piut Raja Ardisyir Babegan, anak Raja Kudar Zakuhun, cucu Raja Amtabus, cicit Raja Sabur, piut Raja Aftus, anak Raja Aristun Syah, anak Raja Iskandar Zulkarnain.
Maka Tersi Berderas beristerikan anak Raja Sulan, ia-itu raja di-negeri Amdan Nagara. Kata setengah riwayat Raja Sulan itu daripada anak cucu Raja Nushirwan Adil, anak Raja Kibad Shahriar, raja masyrik dan maghrib; melainkan Allah subhanahu wa Ta’ala juga yang mengetahuinya.
Tetapi anak Raja Sulan itu raja besar sekali di dalam antara segala raja-raja Hindi dan Sandi, sekaliannya itu dalam tangannya, dan segala raja-raja yang di bawah angin ini sekaliannya takluk kepada baginda itu.
Maka Raja Tersi Berderas beranak dengan puteri anak Raja Sulan itu tiga orang laki-laki, iaitu seorang bernama Raja Hiran, ialah kerajaan di benua Hindi; dan seorang bernama Raja Suran, diambil oleh Raja Sulan nenda baginda; dan seorang lagi Raja Fandin namanya, ia itulah kerajaan di benua Turkistan.
Setelah berapa lamanya, maka Raja Sulan pun hilanglah, maka cucu baginda Raja Suranlah kerajaan menggantikan nenda baginda di negeri Amdan Nagara, terlalu besar kerajaan baginda itu, lebih pula daripada nenda baginda Raja Sulan. Maka adalah kerajaan baginda itu, segala raja-raja dari masyrik lalu ke maghrib sekaliannya takluk kepada baginda, melainkan benua China juga yang tiada takluk kepada Raja Suran.
Sebermula maka Raja Suran pun berkira-kira hendak menyerang negeri China. Maka baginda menyuruhlah menghimpunkan segala bala tenteranlya. Maka sekalian rakayat pun berkampunglah daripada segala pihak negeri, tiada tepermanai lagi banyaknya. Maka segala raja-raja yang takluk kepada Raja Suran itu pun sekaliannya datang dengan alat senjatanya, dan dengan segala rakyat-nya sekali. Adalah banyaknya seribu dua ratus laksa. Setelah sudah sekaliannya berkampung, maka Raja Suran pun berangkatlah hendak menyerang benua China.
Maka adalah daripada kebanyakan rakyat berjalan itu segala hutan belantara pun habislah menjadi padang, dan bumi pun bergentar seperti gempa, dan gunung pun bergerak runtuh kemuncak-nya, dan segala tanah yang tinggi-tinggi itu pun menjadi rata, dan batu pun habis berpelantingan, dan segala sungai yang besar-besar pun habislah kering, jadi saperti lumpur, kerana dua bulan perjalanan rakyat itu tiada berputusan lagi. Jikalau pada malam yang kabut sekalipun menjadi terang seperti bulan pernama pada ketika cuaca daripada kebanyakan cahaya senjata dan kilat mahkota segala raja-raja. Dan jikalau halilintar di langit berbunyi sekalipun tiada kedengaran daripada kesangatan bunyi tempik segala hulubalang dan sorak segala rakyat, bercampur dengan bunyi gajah, kuda, tiada lagi sangka bunyi. Maka segala negeri yang bertemu dengan Raja Suran itu habislah dialahkannya; maka sekalian negeri itu semuanya habis takluk kapada baginda.
Setelah berapa lamanya, maka Raja Suran pun sampailah kepada sebuah negeri, Gongga Nagara namanya. Raja Gongga Syah Johan nama rajanya. Ada pun negeri itu di atas bukit, dipandang dari hadapan terlalu tinggi, dan dari belakang rendah juga. Ada sekarang kotanya di darat Dinding, ke sana Perak sedikit. Setelah Raja Gongga Syah Johan mendengar khabar Raja Suran datang itu, maka baginda pun menyuruh menghimpunkan rakyatnya dan menyuruh tutup pintu kota, dan segala bangunan-bangunan itu pun disuruh tunggui dan parit pun diisi air.
Maka segala rakyat Raja Suran pun datanglah mengepung kota Gongga Nagara itu, dilawannya berperang oleh segala orang yang di atas kota itu. Maka segala rakyat Raja Suran pun tiada boleh tampil. Setelah dilihat oleh Raja Suran, maka ia segera tampil; kenaikannya gajah meta. Maka beberapa ditikam dan dipanah orang dari atas kota tiada dikhabarkannya; tampil juga ia menghampiri kota Gongga Nagara. Telah sampai ke pintu kota, dipalunya dengan cakmarnya, maka pintu Kota Gongga Nagara pun roboh, maka Raja Suran pun masuklah di dalam kota dengan segala hulubalangnya.
Setelah Raja Gongga Syah Johan meIihat Raja Suran datang, maka Raja Gongga Syah Johan pun berdiri memegang panahnya, maka segera dipanahnya Raja Suran, kena gumba gajah Raja Suran, gajah itu pun jatuh terjerumus. Maka Raja Suran segera melompat, serta menghunus pedangnya, lalu diparangkannya kepada Raja Gongga Syah Johan, kena lehernya, putus kepalanya terpelanting ke tanah. Maka Raja Gongga Syah Johan pun matiIah.
Telah segala rakyat Gongga Nagara melihat rajanya sudah mati itu, maka segala rakyat pun minta aman. Maka ada seorang saudara Raja Gongga Syah Johan perempuan, Tuan Puteri Zaris Gongga namanya, terlalu baik parasnya; maka diambil oleh baginda akan isteri. Setelah Negeri Gongga Nagara sudah alah, maka Raja Suran pun berjalanlah dari sana.
Setelah berapa lamanya di jalan, datanglah kapada negeri Ganggayu. Syahadan dahulu kalanya negeri itu negeri besar, kotanya daripada batu hitam, datang sekarang lagi ada kotanya itu di hulu Sungai Johor. Ada pun asal namanya Klang Kio, ia-itu bahasa Siam, ertinya perbendaharaan permata; oleh kita tiada tahu menyebut dia, jadi Ganggayu. Ada pun nama rajanya Raja Chulan; adalah akan baginda itu raja besar, segala raja-raja di bawah angin dalam hukumnya.
Setelah Raja Culan mendengar Raja Suran datang itu, maka Raja Culan pun menyuruh menghimpunkan segala rakyat, dan menyuruh memberi tahu segala raja-raja yang takluk kepada baginda. Setelah berkampung semuanya, maka Raja Culan pun berangkat mengeluari Raja Suran. Rupa rakyat seperti laut tatkala pasang penuh, rupa gajah dan kuda seperti pulau, rupa tunggul panji-panji seperti hutan, rupa senjata berlapis-lapis, rupa cemara tombak seperti bunga lalang. Sekira-kira empat keruh bumi jauhnya berjalan datanglah pada suatu sungai; maka kelihatanlah rakyat Raja Suran seperti hutan rupanya. Maka kata Siam, ”Pangkal” erti-nya “pangkal” itu sungai. Maka dinamai orang sungai itu sungai Pangkal.
Syahadan maka bertemulah rakyat Siam dengan rakyat Keling lalu berperang, tiada sangka bunyi lagi; segala orang yang bergajah berjuangkan gajahnya, dan segala yang berkuda bergigitkan kudanya, segala yang memegang panah berpanah-panahan, segala yang berlembing bertikamkan lembing, segala yang bertombak beradakkan tombaknya, segala yang berpedang bertetakkan pedangnya. Maka rupa senjata saperti hujan yang lebat; jikalau guruh di langit sekali pun tiada kedengaran daripada sangat tempik segala hulubalang, gemerincing bunyi segala senjata juga kedengaran.
Maka debu duli pun berbangkit ke udara, siang cuaca menjadi kelam-kabutlah seperti gerhana matahari. Maka sekalian rakyat pun jadi campur baurlah, tiada berkenalan waktu berperang itu. Berapa yang mengamuk diamuk orang pula, ada yang menikam ditikam orang pula, maka ada pula yang bertikam samanya kawan ada berapa ketika; kedua pihak pun banyak mati dan luka, gajah kuda pun banyak mati, darah pun banyak tumpah ke bumi, lebu duli itu pun hilanglah. Maka kelihatanlah orang berperang itu beramuk-amukan terlalu ramai, sama tiada mahu undur lagi.
Maka Raja Culan pun menempuh dengan gajahnya ke dalam rakyat Raja Suran yang tiada tepermanai banyaknya itu. Maka barang di mana ditempuhnya bangkai bertimbun-timbun. Maka rakyat Keling pun banyaklah matinya, lalu undur. Setelah dilihat oleh Raja Suran, segera ia tampil mengusir Raja Culan. Ada pun kenaikan Raja Suran gajah tunggal, lagi meta, delapan hasta tingginya; tetapi gajah Raja Culan terlalu berani. Maka bertemulah kedua gajah itu lalu berperang, berjuanglah kedua gajah itu, seperti bunyi halilintar membelah bumi, dan bunyi gading kedua gajah itu seperti bunyi petir yang tiada berputusan. Maka kedua gajah itu pun tiada beralahan. Maka Raja Culan berdiri di atas gajahnya menimang-nimang lembingnya lalu ditikamnya Raja Suran, kena baluhan gajah Raja Suran, sejengkal menyisip ke sebelah. Maka Raja Suran segera memanah Raja Culan, kena dadanya terus ke belakang; maka ia pun jatuh dari atas gajahnya, lalu mati.
Maka segala rakyat Raja Culan pun melihat rajanya mati itu, maka sekaliannya pun pecah belahlah, lalu lari cerai-berai. Maka diikuti oleh rakyat Keling, barang yang dapat habis dibunuhnya. Maka segala rakyat Keling pun masuk ke dalam Kota Ganggayu itu, lalu merampas, tiada terkira-kira lagi banyinya beroleh rampasan harta bertimbun-timbun.
Maka ada seorang anak Raja Culan, perempuan, nama-nya Tuan Puteri Onang Kiu, terlalu baik parasnya, dipersembahkan orang kepada Raja Suran; maka diambil baginda akan isteri. Setelah itu maka Raja Suran pun berjalanlah, maka baginda pun terus ke Temasik.
Maka kedengaran khabar ke benua China mengatakan Raja Suran datang hendak menyerang benua China, membawa rakyat tiada tepermanai banyaknya, sekarang sudah sampai ke Temasik. Maka Raja China pun terlalu haibat mendengar khabar itu.
Maka titah Raja China kepada segala menteri dan segala pegawai, “Apa bicara kamu sekalian pada menolakkan bala ini? Jikalau sampai Raja Keling itu ke mari, nescaya binasalah benua China ini olehnya.”
Maka sembah Perdana Mentieri China, “Ya Tuanku Syhah Aalam, yang diperhambalah membicarakan.”
Maka titah Raja China, “Bicarakanlah olehmu.”
Maka Perdana Menteri pun menyuruh melengkapi sebuah pilu diisinya dengan jarum yang seni-seni yang berkarat, maka diambilnya pohon kayu kesma’ dan pohon bidara yang sudah berbuah, ditanamnya di atas pilu itu. Maka dipilhnya segala orang tua yang sudah tanggal giginya disuruhnya naik pilu itu. Maka dipesaninya oleh Perdana Menteri itu disuruhnya belayar ke Temasik.
Telah datang ke Temasik, maka dipersembahkan orang pada Raja Suran, “Ada sebuah perahu datang dari benua China.”
Maka titah Raja Suran kepada orangnya, “Pergilah engkau tanya pada China itu, berapa lagi jauhnya negeri China itu dari sini.”
Maka orang itu pun pergilah bertanya pada orang pilu itu.
Maka sahut orang China itu, “Tatkala kami keluar dari benua China, sekalian kami ini lagi muda-muda belaka, baharu dua belas tahun umur kami; segala buah-buahan ini bijinya kami tanam. Sekarang kami pun tualah, gigi kami semuanya habis tanggal, segala buah-buahan yang kami tanam itu pun sudah berbuahlah, maka baharulah kami sampai ke mari ini.”
Maka diambilnya jarum ada berapa bilah itu, ditunjukkannya pada segala Keling itu, katanya, “Adalah besi ini kami bawa dari negeri China seperti lengan besarnya, sekarang habislah haus; demikianlah peri kami lama di jalan, tiadalah kami tahu akan bilangannya tahun dan bulannya.”
Setelah Keling itu mendengar kata China itu, maka ia pun segera kembali memberi tahu Raja Suran; maka segala kata China itu semuanya dipersembahkannya keapada Raja Suran.
Setelah Raja Suran mendengar sembah orang itu, maka titah Raja Suran, “Jikalau seperti kata China itu, terlalu jauhnya benua China itu; manakala kita sampai ke sana? Baiklah kita kembali.”
Maka sembah segala hulubalang, “Baiklah seperti titah Seri Maharaja itu.”
Maka Raja Suran pun fikir dalam hatinya, “Bahawa isi darat telah sudah aku ketahuilah dan segala isi laut bagaimana pula gerangan rupanya. Jikalau demikian, baiklah aku masuk ke dalam laut, supaya aku ketahui betapa halnya.”
Setelah demikian fikirnya, maka Raja Suran pun menyuruh menghimpunkan segala pandai dan utas, maka dititahkan baginda berbuat peti kaca, berkunci dan berpesawat dari dalam.
Maka diperbuatlah oleh segala utas itu sebuah peti kaca seperti kehendak Raja Suran itu. Syahadan diberi berantai emas sepuluh mutu. Setelah sudah, maka dibawanyalah ke hadapan Raja Suran. Maka terlalu sukacita Raja Suran melihat perbuatan peti itu. Maka baginda memberi anugerah akan segala hakim dan utas itu, tiada lagi terkira-kira banyaknya.
Maka Raja Suran pun masuklah ke dalam peti itu, dan segala yang di Iuar semuanya habis kelihatan; maka dikuncinya oleh baginda pintu itu dari dalam, maka dihulurkan oranglah ke dalam laut. Maka peti itu pun tenggelamlah. Maka Raja Suran pun beberapa melihat kekayaan Allah subhanahu wa Ta’ala yang amat kuasa. Maka peti Raja Suran itu jatuh ke dalam bumi yang bernama Rika.
Syahadan maka Raja Suran pun keluarlah dari dalam peti itu, lalu berjalan meIihat segala yang indah-indah. Maka baginda pun bertemulah dengan sebuah negeri terlalu besar lagi dengan teguhnya. Maka Raja Suran pun masuklah. Maka dilihat baginda dalam negeri itu suatu kaum, Barsam namanya, terlalu amat banyak, tiada siapa mengetahul bilangannya, melainkan Allah subhanahu wa Ta’ala juga yang mengetahui dia. Tetapi mereka itu setengah kafir, setengah Islam.
Setelah orang dalam negeri itu memandang rupa Raja Suran itu, maka ia pun terlalu hairan, syahadan takjub ia memandang pakaiannya. Maka oleh orang dalam negeri itu akan Raja Suran itu dibawanya kepada rajanya. Ada pun nama raja mereka itu Raja Aftabul Ardh.
Setelah raja itu melihat rupa Raja Suran, maka ia pun bertanya kapada orang yang membawa baginda itu, “Orang manakah ini?”
Maka sembah orang itu, “Tuanku, orang baharu datang.”
Maka titah raja, “Dari mana ia datang?”
Sembah orang itu, “Kami sakalian tiada tahu.”
Maka Raja Aftabul Ardh bertanya kepada Raja Suran, “Orang manakah kamu ini, dan dari mana datang kamu ke mari ini?”
Maka sahut Raja Suran, “Hamba ini datang dari dalam dunia; hambalah raja segala manusia’ nama hamba Raja Suran.”
Maka Raja Aftabul Ardh pun terlalu hairan mendengar kata Raja Suran itu, maka katanya, “Adakah dunia lain daripada dunia kami ini?”
Maka sahut Raja Suran, “Bahawa alam ini terlalu banyak, pelbagai jenis ada di dalamnya.”
Telah Raja Aftabul Ardh mendengar kata Raja Suran itu, terlalu ajaib ia, seraya mengucap subhanal lahul malikul jabbar.
Maka oleh Raja Aftabul Ardh akan Raja Suran itu dibawanya naik duduk di atas takhta kerajaan.
Ada pun Raja Aftabul Ardh itu ada beranak seorang perempuan, Tuan Puteri Mahtabul Bahri namanya, terlalu baik parasnya. Maka oleh Raja Aftabul Ardh akan Raja Suran itu dikahwmkannya dengan anaknya Tuan Puteri Mahtabul Bahri. Antara tiga tahun lamanya Raja Suran duduk dengan Tuan Puteri Mahtabul Bahri, maka baginda pun beranak tiga orang laki-laki.
Setelah Raja Suran melihat ketlga anaknya itu, maka baginda pun terlalu mashghul seraya katanya, “Apa-kah kesudahannya anakku duduk di bawah bumi ini? Syahadan apa dayaku membawa dia keluar?”
Kata sahibul hikayat, tengah baginda berfikir itu, dengan takdir Allah yang empunya iradat, sekonyong-konyong datanglah raja jin Asmaghayah Peri menghadap baginda. Setelah Raja Suran melihat raja Jin itu, lalu dikenal bagmda; maka titah baginda, “Apakah kerja tuan-hamba ke mari?”
Maka sembahnya, “Sahaja hamba menghadap.”
Maka titah Raja Suran, “Jika demikian hendaklah tuan hamba perbuatkan hamba mahkota tiga buah akan pakaian anak hamba, supaya ada tanda Raja Iskandar Zulkarnain kepada a.” Maka berdatang sembah raja jin Asmaghayah Peri, “Jika demikian mahkota kudrat yang di dalam perbendaharaan Paduka Mambanglah hamba ambil.”
Maka sahut baginda, “Sebenar-benarnya bicaralah kehendak tuan-hamba itu.”
Maka raja jin pun bermohonlah, lalu ghaib daripada mata baginda. Maka diambilnya mahkota tiga buah dan dalam perbendaharaan Raja Sulaiman ‘alaihis salam, dibawanya kepada Raja Suran. Maka diambil baginda dengan sukacitanya. Maka raja jin pun bermohonlah lalu kembali.
Maka Raja Suran pun datang kepada Raja Aftabul Ardh membawa mahkota itu; maka kata Raja Suran, “Jikalau anak hamba ketiga ini sudah besar, hendaklah tuan hamba hantarkan dia ke dalam duni, supaya mahkota kerajaan Iskandar Zulkarnain itu jangan berputusan; mahkota ini akan pakaiannya.”
Maka sahut Raja Aftabul Ardh, “Baiklah.”
Hatta maka Raja Suran pun memohonlah kepada Raja Aftabul Ardh hendak kembali ke dalam dunia. Maka baginda pun bertangis-tangisan dengan isteri baginda. Setelah itu Raja Aftabul Ardh menyuruh mengambil seekor kuda semberani jantan, Farasul Bahri namanya, diberikannya kapada Raja Suran.
Maka baginda pun naik ke atas kuda itu, maka oleh kuda itu dibawanya Raja Suran keluar dari dalam laut, lalu terbang ke udara. Maka kuda itu pun berjalan di tengah laut itu.
Syahadan telah dilihat oleh rakyat Raja Suran bahawa yang di atas kuda semberani itu nyatalah Raja Suran, maka segeralah diambil oleh Perdana Menteri seekor kuda betina yang baik, dibawanya ke-tepi laut itu. Setelah kuda jantan itu melihat kuda betina itu, maka ia pun naiklah berjalan ke darat mendapatkan kuda betina itu. Maka turunlah Raja Suran dari atas kuda itu, maka kuda semberani itu kembalilah ia ke dalam laut pula.
Maka titah Raja Suran pada hakim dan utas “Hendaklah kamu sekalian perbuatkan aku alamat tanda kita masuk ke dalam laut ini. Adalah kehendak hatiku biarlah kekal perbuatan itu hingga hari kiamat. Dan kamu suratkan segala hikayat kita masuk ke dalam laut, supaya diketahui dan didengarnya oleh segala anak cucu kita yang kemudian.”
Setelah segala hakim dan utas mendengar titah Raja Suran itu maka diambil oleh segala mereka itu suatu batu, maka disuratnya oleh mereka dengan bahasa Hindustan. Setelah disurat mereka, maka oleh Raja Suran diambilnya beberapa harta emas dan perak dan permata ratna mutu manikam dan segala mata benda yang ajaib-ajaib, maka ditaruhnya sama-sama batu surat itu.
Maka titah Raja Suran, “Pada akhir zaman kelak ada seorang raja daripada anak cucuku, ialah yang beroleh harta ini; dan raja itulah yang menaklukkan segala negeri yang di bawah angin ini.”
Setelah itu maka Raja Suran pun kembali ke benua Keling. Telah sampailah ke negeri Keling, maka Raja Suran pun berbuat sebuah negeri terlalu besar, kotanya daripada batu hitam tujuh lapis, serta dengan tebalnya dan tingginya sembilan depa; daripada pandainya segala utas berbuat dia itu tiadalah kelihatan rapatannya lagi. Rupanya seperti dituang; pintunya daripada besi melela, bertatahkan emas bepermata.
Syahadan peri luas kota itu, tujuh buah gunung di dalamnya; dan pada sama tengah negeri itu ada sebuah tasik terlalu luas, seperti laut rupanya. Jikalau gajah berdiri di seberang tasik itu, tiada kelihatan dari seberangnya, dan serba ikan dilepaskannya di dalam tasik itu. Maka di tengah tasik itu ada sebuah pulau terlalu tinggi, sentiasa berasap saperti disapu embun rupanya.
Maka di atas pulau itu di tanaminya pelbagai kayu-kayuan dan buah-buahan dan bunga-bungaan, segala yang ada di dalam dunia ini semuanya adalah di sana, dan apabila Raja Suran hendak bermain, ke sanalah ia pergi.
Maka adalah di tepi tasik itu diperbuatnya pula suatu hutan terlalu besar, maka dilepaskannya segala binatang yang liar, dan apabila Raja Suran hendak berburu atau menjerat gajah, pada hutan itulah ia pergi.
Setelah sudah negeri itu diperbuat, maka dinamainya oleh Raja Suran Bija Nagara; sekarang pun ada lagi negeri itu di Benua Keling. Syahadan fasal Raja Suran itu jikalau dihikayatkan semuanya, seperti Hikayat Sayyidina Hamzahlah banyak-nya.
Hatta berapa lamanya maka Raja Suran itu pun beranaklah dengan Tuan Puteri Onang Kiu anak Raja Culan, seorang perempuan terlalu baik parasnya, pada masa itu tiadalah sebagainya seorang pun, maka dinamai oleh ayahanda baginda Tuan Puteri Chendani Wasis.
Syahadan beranak dengan Tuan Puteri Zaris Gongga tiga orang laki-laki Bicitram Syah seorang namanya, Palidu Tani seorang nama-nya, dan Nila Manam seorang namanya.
Maka Tuan Puteri Chendani Wasis dipinang oleh Raja Hiran, didudukannya dengan anaknya yang bernama Raj’a Culan. Maka oleh Raja Suran anaknya yang bernama Palidu Tani itu dirajakannya di Negeri Amdan Nagara, dan Nila Manam dirajakannya di Bija Nagara akan menggantikan kerajaan baginda, maka Bicitramm Shah dirajakannya di Negeri Chandu Kani.
Maka kata Bictram Syah, “Aku tua dirajakan di Negari Kechil. Baiklah aku membuang diriku.”
Maka Biciltram Syah pun pergilah membuangkan dirinya berlayar dengan kapal, dibawanya segala alat kera]aan, dua puluh buah kapal lengkap dengan alat peperangan; niat baginda itu hendak mengalahkan segala negeri yang di tepi laut, supaya takluk kepada baginda.
Setelah berapa puluh buah negeri dialahkannya, maka baginda pun datang pada laut Selbu; maka pada satu malam turun taufan terlalu besar, hujan, ribut, guruh petir. Maka segala kapal itu pun habis pecah chrai-berai ke sana sini.
Setengah kembali ke Negeri Chandu Kani setengah tiada berketahuan perginya. Syahadan hikayat ini terlalu amat lanjut jika kami hikayatkan semuanya neschaya jemu orang mendengar dia.
Maka kami simpankan juga perkataan yang amat lanjut, tiada gemar orang yang ber’akal mendengar dia. Wal lahu a’alamu bi ‘l-sawab, wa ilaihil marji’u wal ma’ab.