Dipetik dari: Program Wacana Buku 2010 Fakulti Teknologi Maklumat Dan Komunikasi, Bilik Serbaguna 1, Perpustakaan Tuanku Bainun Universiti Pendidikan Sultan Idris, 25 Februari 2010

Buku  :  Solat Kebaikan dari Perspektif Sains: Membongkar Fakta-Fakta Saintifik di Sebalik Solat
Pengarang: Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas, Ng Siew Cheok
Pewacana : Dr. Norasikin Fabil & Dr. Nor Azah Abdul Aziz
Moderator :  Pn. Nor Zuhaidah Mohamed Zain

Jasad manusia terdiri daripada komponen fizikal dan mental. Operasi fizikal jasad manusia diuruskan oleh bahagian mental. Tatacara pengurusan ini merupakan manifestasi daripada tindakan dan kelakuan otak manusia itu sendiri, sama ada dalam bentuk mekanikal, kimia, atau elektrik.

Kesihatan seseorang manusia pula bergantung kepada kesihatan fizikal dan mentalnya. Manusia yang sihat fizikal dan mental akan dapat melaksanakan tugas hariannya dengan sempurna. Malahan, mereka juga dapat memainkan peranannya sebagai warga dunia secara lebih efektif. Ada banyak kegiatan berkala harian yang boleh dilakukan untuk menjamin kesihatan seseorang agar berada pada tahap yang sempurna.

Dalam agama Islam, sembahyang atau solat adalah tiang agama dan merupakan ibadat wajib yang perlu dilakukan pada masa, keadaan, serta mengikut tertibnya. Solat wajib merupakan satu kegiatan rutin harian orang Islam yang mesti dilakukan secara berkala, lima kali sehari semalam. Di samping itu, ada solat-solat tambahan yang digalakkan untuk orang-orang Islam melakukannya pada bila-bila masa mahupun pada masa-masa tertentu.

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar”
Al-Ankabut 29 : 45

“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”
Al-Baqarah 2 : 45

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan sembahyang), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah),

Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan ”
Al-Baqarah 2 : 149

Orang yang tekun menunaikan solat, akan merasakan kebahagiaan yang hakiki, walaupun tidak memiliki harta yang banyak. Kebahagiaan yang memancar daripada ibadah solat, melangkaui batas harta yang sukar dihurai dengan kata-kata (Misbah Em Majidy (2009). Menyukat Solat Diri. Petaling Jaya : Kemilau Publika Sdn. Bhd., h. 29)

Menurut kajian Professor Fatimah Fatimah Ibrahim, Wan Abu Bakar Wan Abas dan  Ng Siew Cheok, tabiat lazim sempurna yang patut diamalkan dalam solat selain menyempurnakan solat lima waktu sehari semalam ialah berusaha memahami sepenuhnya makna bacaan di dalam solat, menunaikan solat secara berjemaah, memastikan kedudukan tulang belakang yang lurus ketika rukuk (rukuk 90 darjah) dan membengkokkan jari kaki ketika sujud dan duduk tahiyat.

Jika seseorang dapat mengamalkan lima atau empat tabiat lazim tersebut, mereka akan mempunyai tahap kesihatan yang terbaik dan melepasi aras optimum sihat. Malah tubuh badan juga akan menjadi lebih sihat, bertenaga serta daya ketahanan badan menjadi tinggi dan mantap serta dapat menghindarkan mereka daripada dijangkiti pelbagai penyakit fizikal dan mental.