Dipetik dari: Muhammad Ibnu Sirin (2002). Ensiklopedia Tafsir Mimpi: Menurut Tradisi Islam. Selangor: Cresent News (KL) Sdn Bhd.

Pentafsiran mimpi memerlukan pengetahuan, kepekaan dan ketelusan yang luas. Pengetahuan ini harus didasarkan kepada agama, nilai-nilai spiritual, tradisi moral serta budaya. Terdapat dua jenis mimpi. Pertama, mimpi yang datang dari Allah Taala dan kedua mimpi yang datang daripada syaitan. Mimpi baik yang datang dari Allah Taala merupakan ilham yang berupa khabar gembira dan peringatan. Mimpi sebegini menjadikan hati seseorang merenungi perbuatannya serta menyedarkannya daripada kelalaian. Mimpi ini juga menjadi teguran kepada perbuatan yang tidak baik/elok, atau tindakannya yang secara keliru dianggapnya baik, atau persahabatan baru yang akan membawanya ke neraka, atau sebagai penjelasan tentang tingkah lakunya terhadap keluarganya, rakan-rakannya atau perniagaan dan urusannya. Mimpi sedemikian juga membawa maksud bimbingan spiritual, dan sebagainya. Inilah mimpi yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai “Mimpi yang benar ialah salah satu daripada empat puluh enam cabang kenabian”. Sesiapa juga yang beragama mahupun yang tidak beragama sememangnya mengharapkan mimpinya menjadi kenyataan.

Mimpi jenis kedua membawa konotasi penipuan, kelicikan, cemburu, ketakutan, kesakitan, bisikan rahsia yang tidak dapat didengar, hal-hal dunia, cetusan fikiran dan nafsu diri sendiri, imaginasi, terjadi akibat banyak makan atau akibat tidur dalam keadaan lapar dan sebagainya. Mimpi jenis ini kebanyakannya  berpunca daripada syaitan. Rasulullah s.a.w bersabda:

” Seiring dengan hampirnya dunia ini kepada hari terakhir, mimpi-mimpi akan menjadi kacau. Mimpi yang paling benar ialah mimpi orang-orang soleh. Jadi, jika seseorang melihat mimpi yang tidak disukainya, maka dia tidak boleh memberitahu kepada orang lain, dan dia harus segera meninggalkan tempat tidurnya untuk bersolat”.