Ariff’s blog

Just another UPSI Blogs weblog
Jun 17

Guru bahasa dan kesusasteraan akan sentiasa bekerja dengan melibatkan dua prinsip.
1. Kesusasteraan sebagai pengalaman
2. Kesusasteraan sebagai bahasa

1. Kesusasteraan sebagai pengalaman

Dalam pengajaran kesusasteraan, kita tidak hanya terlibat dalam menghasilkan sebarang jenis mekanikal, aktiviti yang automatik, yang tidak bermakna kepada para pelajar yang terlibat.  Sifat semula jadi kerja-kerja yang sebenar boleh diperolehi dengan baik melalui pemikiran terhadap setiap bahan yang diperkenalkan, yang boleh memberi satu pengalaman baru. Pengalaman secara keseluruhannya bermaksud jumlah semua perkara yang berlaku dalam kehidupan kita, sama ada perkara-perkara itu menyeronokkan, atau yang membuatkan kita menderita, atau yang dapat kita perhatikan, fikirkan, memulakan atau untuk kita bekerjasama dan sebagainya.
Pengalaman secara tradisi menjadikan seseorang itu lebih matang dan bijak, serta lebih berkebolehan menguruskan sebarang masalah.  Kita tidak mengumpulkan dan menambah semua pengalaman yang kita lalui, tetapi kita menyesuaikannya dalam minda dan personaliti kita.  Kita menyusunnya dalam pelbagai klasifikasi pola dan jangkaan. Kebolehan kita memahamkan sesuatu secara berkesan dan bijaksana bergantung kepada organisasi stock pengalaman yang kita ada.  Memang jelas, beberapa jenis pengalaman sebenarnya berlaku kepada kita.  Pengalaman datang kepada kita dengan pelbagai cara, termasuklah dengan membaca puisi atau cerita atau melihat persembahan drama atau lakonan.
Ramai orang berpendapat bahawa pengalaman yang diperolehi daripada buku adalah pengalaman sekunder.  Hal ini kemungkinan betul.  Walau bagaimanapun, tidak dinafikan bahawa pengalaman yang kita perolehi daripada membaca kadangkala boleh menjadi lebih kuat serta lebih berharga.  Lebih-lebih lagi apabila bahan pengalaman itu dipersembahkan oleh pengarang yang terkenal yang memiliki kepekaan yang teguh dan kekuatan untuk melihat alam sekeliling secara terperinci. Setiap kerja yang melibatkan kesusasteraan yang kita perkenalkan kepada pelajar seharusnya dianggap sebagai satu potensi ‘pengalaman baru’, sesuatu yang mempunyai kesan yang jelas kepada mereka.  Setiap bahan kesusasteraan yang dipilih seharusnya berkemampuan meninggalkan kesan yang bermakna kepada pembacanya.
Pengalaman adalah sesuatu unsur penting yang kita perolehi, dan bukannya sesuatu yang kita fikirkan.  Tugas guru bukan sahaja untuk memenuhi beberapa bekas yang kosong dengan maklumat yang remeh, tetapi peranan mereka adalah diumpamakan seperti midwife yang tugasnya adalah untuk membantu mewujudkan satu konsep dan satu idea yang baru.
Guru kesusasteraan tidak sepatutnya terlalu gopoh untuk memberitahu pelajar tentang isi bahan yang hendak diperkenalkan, mengambil nota, memberi rencana, memberi sinopsis, mendeskripsi watak-watak dan sebagainya.  Tujuannya adalah untuk membolehkan pelajar menemui sendiri apa yang sebenarnya terlibat dan berlaku dalam bahan tersebut.  Guru harus membatasi peranan mereka terutama dalam memberikan cadangan.  Tetapi beri bantuan dan galakan di mana-mana yang perlu untuk menambahkan pengalaman pelajar.
Cadangan telah dibuat sebelum ini, iaitu guru-guru kesusasteraan hendaklah tahu bila masanya untuk bertindak pasif.  Ini tidak bermakna dia tidak aktif atau tidak terlibat dalam pengajaran.  Kekuatan imaginasi dan wawasan terhadap kesusasteraan dan minda pelajarnya akan sentiasa diperbaharui.  Ini kerana dia terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah dan membuat keputusan.
Guru seharusnya dapat menentukan sejauh mana dia boleh menjangkakan pelajar-pelajarnya memperoleh secara berkesan.  Dia terpaksa menentukan di mana dan bila dia harus bertindak sebagai pembantu pengadilan.  Dalam hal dia harus sentiasa bersedia dan dapat memberi layanan yang sempurna pada masa yang tepat.

2. Kesusasteraan sebagai bahasa

Kajian kesusasteraan secara asasnya adalah satu kajian operasi bahasa.  Kajian kesusasteraan mesti sentiasa berdasarkan kesedaran bahawa setiap kerja adalah melibatkan koleksi perkataan yang dengannya pelajar dikehendaki menyiasat, memeriksa, menganalisis, membina dan sebagainya. Pengalaman bekerja dengan hasil kesusasteraan, tidak kira kecil atau besar, hanya boleh dimulakan dan disambung dengan membaca.  Harus diingat bahawa lambang-lambang bahasa memerlukan interpretasi yang teliti.  Pengetahuan guru tentang bahasa akan melibatkan konsep seperti yang berikut:
a)    Semua bahasa bermula daripada bunyi yang bertindak sebagai simbol untuk pelbagai perkara, idea, dan menjadi perkataan.
b)    Perkataan boleh berubah dalam banyak cara yang tidak dapat diramalkan dalam memberikan makna.
c)    Perkataan dikumpulkan bersama mengikut pola dan corak tertentu, bentuk frasa, klausa, dan ayat-ayat.
d)    Ayat-ayat adalah disusun dalam sistem yang lebih besar seperti perenggan, deskripsi, cerita, kesinambungan pemikiran dan sebagainya.

Guru harus sedar bagaimana bahasa boleh digunakan untuk maksud yang berlainan, umpamanya memberi maklumat, mengekspresi perasaan, memujuk, membentuk pemikiran, menyusun dan sebagainya.  Dia harus dapat mengenal pasti perbezaan antara bahasa yang digunakan untuk merujuk perkara-perkara yang sebenar, situasi atau perhubungan dengan bahasa yang digunakan untuk mencipta imaginasi.  Dia harus biasa dengan sub-sub bahasa seperti dialek dan laras.
Selain itu, guru juga harus bersedia untuk mengenal kaedah yang berbeza bagaimana bahasa beroperasi, misalnya dengan pernyataan, dengan huraian, dengan kesan irama, dengan perbandingan, dengan ilusi, atau dengan maksud-maksud yang tidak jelas seperti ironi dan metafora.  Apa yang lebih penting ialah dia sepatutnya sedar bahawa perkataan yang digunakan bukan sentiasa dapat mewakili idea keseluruhan yang dibawa untuk dipertimbangkan.

Jan 29

Syahid, Jalan Pilihan Terakhir

(Suara Perindu Syuhada di Palestina)

Hidup kami dikelilingi tulang kehancuran

Pilihan kami hanya dua: melawan atau menyerah

Yang terjawab tetap kemusnahan

Belulang disayat darah syuhada.

Kami dimainkan oleh kuasa

Dirintihkan oleh nasib dan celaka

Bekal kami hanya semangat dan cinta

Tanah ini akan kami pertahan setiap inci

Kami tahu ini pilihan terakhir

Dan yang terbaik

Maka kami restukan sendiri

Dengan doa sepenuhnya di bawah kubah suci.

Ya Allah,

Kasturi yang mewangi di syurga-Mu kelak

Adalah darah pejuang yang bergelimpangan ini.

Ya Allah,

Cahaya restu-Mu kami pohon

Berilah petunjuk kepada pendurjana

Kurniakan restu kepada pejuang kami

Anugerahkan kekuatan khalifah kami

Teruskan kezaman pemimpin kami

Rapatkan persaudaraan antara kami

Gantikan pengorbanan ini dengan kasih sejati.

Ya Allah,

Tangisan kami telah kering

Darah syuhada kami di mana-mana

Kubur kami terlalu segera

Saudara kami entah di mana.

Ya Allah,

Ampunkan dosa-dosa kami

Berikan cahaya suci kepada kami

Kembalikan kubah kesayangan kami

Izinkan kami berinjak selesa di bumi sendiri.

Ya Allah,

Inilah suara perindu syuhada di Palestina

Kami restu di jalan ini

Jalan syahid yang dipilih sendiri

Jalan pilihan terakhir

Dan yang terbaik buat kami.

ARIFF MOHAMAD

Fakulti Bahasa

Jan 23

Selamat berblog.

Blog, dalam pengertian yang terbuka, saya anggap sebagai wahana untuk berkongsi maklumat, pengetahuan, bahan, cerita dan ruang untuk komunikasi. Blog adalah sisi lain untuk melihat ‘dunia’.

Hari ini, Jumaat, hari yang baik, maka inilah ‘post’ pertama saya untuk blog ini. Dengan harapan agar blog ini dapat dimanfaatkan oleh semua, dengan ini saya lancarkan sendiri blog ini.

Jan 22

Welcome to UPSI Blogs. This is your first post. Edit or delete it, then start blogging!